Siapa Rasulullah Di Hati Kita ?

12 Rabiulawal menjelang lagi. Tarikh ini mengingatkan kita kepada keputeraan nabi junjungan kita Muhammad S.A.W yang berlaku lebih 14 kurun yang lalu. Insan pilihan Allah ini dilahirkan dengan penuh keistimewaan, sejak hari lahirnya hinggalah waktu wafatnya. Di hari kelahirannya, terpadam api biara Majusi yang tidak pernah padam sebelum itu, runtuhnya istana Kisra Parsi, Mekah diterangi cahaya putih dan pelbagai kejadian pelik lain.


Seminggu sebelum tibanya 12 Rabiulawal, masyarakat di Syria telah sibuk bercakap mengenai Rasulullah S.A.W melebihi dengan apa yang dilakukan mereka pada hari-hari biasa. Ulama’-ulama’ pula sememangnya mengambil kesempatan ini untuk mendidik masyarakat untuk cinta kepada nabi, sesuatu yang susah kita nak dapati di Malaysia. Suasananya begitu terasa. Hari ini pun aku mendengar khutbah Jumaat Sheikh Sariah mengenai cinta kepada Rasulullah. Semasa majlis zikir pada waktu pagi pun, dia bercerita dan memberi tazkirah mengenai cinta kepada Rasulullah. Subhanallah…insaf rasanya apabila merasakan diri ini hanya mampu melafazkan cinta kepada nabi tetapi jauh sekali rasanya kedudukan cinta nabi itu di hatiku mahupun dengan amalanku. Astaghfirullah….


RAHMATAN LIL ‘ALAMIN

Hadirnya baginda ke dunia ini menjadi rahmat besar ke seluruh alam. Bukan sekadar kepada masyarakat Arab di semenanjung tanah arab, bahkan semua orang di atas muka bumi ini. Malah rahmat ini meluas bukan sahaja kepada manusia, tetapi kepada makhluk-makhluk Allah yang lain termasuk malaikat, binatang, tumbuhan, jin, batu-batu dan sebagainya. Rahmat ini datang dengan pakej Islam, bukan dengan pakej lain. Bukan dengan pakej bangsa Arab, bukan dengan pakej nasionalisme, bukan dengan pakej kapitalisme, akan tetapi hanya dengan Islam!! Dengan kata lain, rahmat ini hanya dapat dirasai sekiranya kita mengamalkan Islam. Kita tidak merasai rahmat ini seratus peratus sekiranya kita mencampurkan Islam dengan perkara lain. Malah, rahmat ini dapat dirasakan oleh orang bukan Islam sekiranya Islam dilaksanakan.



BUKAN TEPUK SEBELAH TANGAN

Kalau orang sedang bercinta, mereka sering katakan “Aku bertepuk sebelah tangan” sekiranya cintanya tidak diterima orang atau dia hanya syok sendiri. Kita pun telah mengetahui betapa banyak orang yang frust bercinta hanya kerana cintanya tidak berbalas. Ini fenomena dalam cinta haram atau cinta monyet. Cinta yang dianjurkan oleh Islam amat berbeza benar, sama ada bercinta dengan Allah mahupun cinta kepada Rasulullah S.A.W.



Percintaan dengan S.A.W amat unik kerana baginda telah dahulu memulakan percintaan ini, sebelum kita semua memulakannya. Baginda telah menyintai kita semua sebelum kita semua menyintainya. Baginda telah menghulurkan tangannya untuk bertepuk dengan kita sambil menunggu kita untuk membalasnya. Ironinya, nabi S.A.W tidak memerlukan kepada balasan kita sebenarnya. Baginda memulakannya kerana ingin melihat kita bahagia dan senang di akhirat kelak.



Ketikamana Rasulullah bersabda “Sesiapa yang berselawat kepadaku sekali, maka Allah akan berselawat (berdoa) ke atasnya (sesiapa yang berselawat) dengan 10 kali selawat”, Rasulullah amat gembira dengan kurniaan Allah S.W.T tersebut. Bukanlah gembira dengan pujian dan limpahan doa yang bakal dilakukan oleh umat kepadanya, akan tetapi baginda gembira dan seronok apabila Allah akan memberikan ganjaran yang banyak kepada umatnya. Mana tidaknya, sekali kita berselawat kepada nabi, Allah akan membalasnya dengan 10 kali lebih baik daripada itu. Imam Sakhowi ketika mengulas perkara ini mengatakan bahawa satu selawat Allah (doa) kepada umatnya lebih baik daripada membuat 1000 kebajikan. Lihatlah cintanya nabi kepada kita semua, lebih memikirkan nasib umatnya berbanding perkara lain.



Kita juga tidak boleh melupakan jasa nabi Muhammad S.A.W ketika menerima ibadah solat fardhu pada peristiwa Isra’ Mikraj. Daripada 50 rakaat yang ditaklifkan, nabi berusaha untuk mengurangkan bilangan tersebut sehinggalah menjadi 5 rakaat seperti sekarang selepas mendapat signal daripada nabi Musa yang menyatakan umat akhir zaman ini tidak mampu melakukan ibadah sebanyak itu. Lalu turun-naik lah nabi berjumpa Allah untuk mengurangkan bilangan tersebut lantaran memikirkan umatnya walaupun dia sendiri ‘tebal muka’ untuk meminta pengurangan itu. Ada sebahagian riwayat menyatakan daripada 50 rakaat yang disyariatkan, ia dikurangkan 5 rakaat setiap kali nabi mengadap Allah. Secara congakan akal yang dangkal ini, bermakna 9 kali nabi S.A.W turun-naik secara tebal muka untuk berunding bagi urusan umatnya!! Akhirnya dengan sifat kasih sayang Allah jua, kita hanya difardhukan untuk menunaikan 5 kali solat sehari tetapi pahalanya tetap sama dengan 50 rakaat yang mula disyariatkan !!



Saat-saat akhir nabi di alam ini adalah isyarat yang paling jelas kepada kita bahawa baginda telah memulakan proses percintaan ini sebelum kita memulakannya. Ketika baginda nazak menghadapi sakaratul maut, baginda masih menyebut “Ummati, ummati, ummati (umatku, umatku, umatku)”. Jika kita fikir-fikirkan pun, tak mungkin orang yang sakit akan menyebut perkara yang lain ketika sakitnya melainkan mengerang kesakitan. Akan tetapi kerana cintanya kepada umatnya, baginda masih memikirkan umatnya walaupun di penghujung usia…. Ya Allah !!!!



MEMBALAS CINTA

Sudah menjadi resam orang bercinta, cinta itu akan menjadi asyik dan amat memabukkan jika cinta itu berbalas. Begitu juga bentuk cinta ini. Baginda telah menghulurkan cintanya, maka kitalah perlu menyambutnya. Malangnya kita pada hari ini, tidak mabuk dengan cinta kepada Allah dan cinta kepada nabi tetapi mabuk dengan cinta monyet dan cinta manusia yang fana’. Kita perlu memuhasabah kembali sejarah yang telah dilalui semoga generasi akan datang tidak kering dan gersang dengan cinta kepada Rasul mereka.



Sememangnya kesilapan bermula sejak awal lagi. Ketika kita kecil, kita tidak diajar untuk mencintai baginda. Kita lebih dulu diajar A-B-C sebelum diajar mengenali nabi. Kita lebih dulu diajar 1-2-3 sebelum kita diajar mencintai nabi. Malah amat mengecewakan perkara ini tidak langsung mendapat perhatian ibu bapa. Kita boleh lihat, anak-anak kini dibesarkan dengan watak-watak animasi Pokemon, Doraemon, Superman, Power Rangers dan Mickey Mouse. Astro menjadi pendidik kanak-kanak kini menggantikan peranan ibu bapa yang sepatutnya berperanan. Bagaimana perkara ini boleh terjadi? Tepuk dada, tanya iman.. Islam awal-awal lagi telah mengajar bagaimana kita hendak mendidik anak-anak dengan betul. Rasulullah pernah bersabda ;



أَدِّبوا أولادَكم على ثلاثِ خِصَالٍ حبِّ نبيكم وحبِّ أهل بيته وقراءةِ القرآن فإن حملة القرآن فى ظل الله يوم القيامة يوم لا ظل إلا ظله مع أنبيائه وأصفيائه

“Didiklah anak-anak kamu dengan 3 perkara - Cinta kepada nabi, cinta kepada keluarga nabi dan membaca al-Quran kerana orang yang menjadi ahli al-Quran akan berada di bawah naungan Allah bersama para anbiya’dan para sufi ketika hari kiamat di mana pada ketika itu tiada naungan lain kecuali naungan Allah”



Oleh kerana itu, kita semua perlu memupuk cinta ini dalam diri masing-masing. Sekiranya kita ada anak-anak, ajarkanlah mereka cinta kepada nabi sebelum mereka mengenali artis ataupun ikon animasi lain. Sekiranya kita seorang guru, selalulah bercerita kepada murid-murid mengenai nabi, insyaAllah daripada menceritakan peribadi baginda, orang akan jatuh cinta kepadanya. Walaubagaimanapun, ia perlu sentiasa dihangatkan dan jangan ditinggalkan. Umpama hubungan suami dan isteri, cinta akan menjadi lebih kuat apabila ia sentiasa dihangatkan dengan pengorbanan dan persefahaman.



Kesan perasaan cinta ini, kita akan membuktikannya dengan amalan kita. Bukti kecintaan yang paling besar ialah mengamalkan sunnahnya. Bukan sekadar mengamalkan sunnah-sunnah yang kecil seperti bersiwak, memakai serban atau memakai capal seperti capal Rasulullah, akan tetapi juga mengamalkan sunnah yang lebih besar seperti menjadi pewaris anbiya’ iaitu ulama’, membina negara dan berusaha mendaulatkan Islam. Kita juga akan bangkit ketikamana baginda dihina seperti yang berlaku di Denmark sebelum ini. Begitu juga kecintaan ini akan menyebabkan kita sentiasa mengingati baginda dengan berselawat kepadanya. Selawat inilah yang akan menjadi charger cinta kita kepada nabi S.A.W.



MEMPERINGATINYA SEMPENA KEPUTERAAN BAGINDA

Menyambut keputeraan baginda merupakan satu peluang bagi kita mengingatinya. Ini bukanlah bermakna kita hanya mengingatinya pada hari kebesaran baginda dan melupakannya pada hari-hari yang lain. Kita amat berbeza dengan orang barat. Orang barat merayakan Hari Ibu kerana mereka tidak berkesempatan untuk berbuat baik kepada ibu mereka pada hari-hari yang lain. Pada Hari Ibu, mereka pulang ke rumah dan memberi hadiah kepada ibu-ibu mereka kerana tidak sempat berbuat baik pada hari-hari lain. Begitu juga dengan Valentine Day..Semuanya dari barat yang sesat dan lemas dengan kehidupan dunia mereka. Islam tidak begitu. Islam menganjurkan kita sentiasa berbuat baik kepada sesiapa sahaja termasuk ibu bapa kita pada setiap masa dan waktu, malah melarang kita derhaka kepada mereka hatta tidak boleh berkata ‘Uh’ kepada mereka.



Begitu juga apabila kita menyambut keputeraan Rasulullah (Maulidurrasul). Bukan bermakna kita hanya mengingati baginda pada hari ini. Kita mengingati baginda mereka setiap hari dan setiap waktu solat kita apabila melafazkan selawat kepada baginda pada waktu tahiyyat. Pada hari maulid ini, kita hanya meningkatkan lagi rasa kasih dan sayang kita kepadanya lebih daripada hari-hari yang lain. Moga-moga dengan mengingati baginda akan menguatkan lagi azam kita untuk menjadi pejuang agama dan sunnahnya.



RASULULLAH DI HATI KITA

Sebenarnya amat bertuah kita menjadi umat nabi Muhammad. Tidakkah kita ingat bahawa para rasul yang lain ingin benar menjadi umat Muhammad kerana banyak kelebihan yang diberikan oleh Allah. Namun itulah takdir, hanya insan yang terpilih menjadi umat utusan akhir ini.



Kita telah mengetahui pengorbanan Rasulullah dan juga betapa tingginya cinta baginda kepada kita. Baginda telah meletakkan kita sebagai umatnya di tempat yang tinggi di dalam hatinya. Setelah mengetahui ini semua, kita perlu persoalkan kepada diri kita sendiri, siapa pula Rasulullah di hati kita sekarang? Adakah kita telah meletakkan nilai cinta kita ini lebih tinggi daripada cinta kita terhadap dunia? Atau cinta kepadanya sama sahaja seperti kasih kita kepada orang-orang lain di atas muka bumi ini? Atau lebih teruk lagi, kita tidak langsung berasa cintakan Rasulullah. Tatkala orang menghina Rasulullah, kita hanya melihat dari jauh tanpa bangkit. Tatkala orang memijak-mijak sunnah Rasulullah dengan mengambil sumber panduan lain daripada al-Quran dan sunnah, kita tidak bersuara dan kadang-kadang tu menyokong pula.



Wahai sahabat-sahabat, apakah nasib kita di akhirat nanti tanpa cinta ini? Dengan siapa kita mahu mohon syafaat selain daripada Rasulullah? Layakkah kita mendapat syafaat baginda di akhirat tanpa cinta suci ini? Apakah kesudahan kita semua di akhirat? Ya Allah, berilah kekuatan kepadaku untuk menjadi umat Muhammad yang cinta kepadanya….



http://ilmuanmuda.wordpress.com

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.