SHAH ALAM, 10 Mac (Hrkh) - Prinsip yang paling penting untuk mencapai sebuah negara yang maju ialah prinsip demokrasi dengan pandangan rakyat perlu diutamakan dalam menetukan hala tuju sesebuah negara.
"Pandangan rakyat merupakan satu petanda yang terbaik sama ada berjaya atau tidak pentadbiran sesebuah negeri.
"Sudah semestinya prinsip ini dilengkapkan dengan perlembagaan persekutuan dan undang-undang tubuh kerajaan negeri yang semua seharusnya sedia maklum," titahnya.
Baginda bertitah demikian dalam Majlis Perasmian Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Persidangan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Selangor ke-12 di Bangunan Dewan Undangan Negeri Selangor, dekat sini pagi tadi.
Menurut baginda, pandangan rakyat harus diambil kira dan mempersoalkan tindakan kerajaan negeri yang melaksanakan 'Merakyatkan Ekonomi Selangor' (MES) sekiranya menolak pandangan rakyat.
Oleh itu titahnya, proses perbincangan awam seharusnya diperbanyakkan untuk setiap keputusan dan kerangka utama pembangunan kerajaan negeri.
"Masyarakat madani di negara maju menyumbang secara aktif kepada pembangunan negara dan ini sewajarnya menjadi kebiasaan di Selangor," titah baginda.
"Kerajaan negeri beta mesti cuba menggunakan kepakaran yang ada pada pihak-pihak ini dalam tujuan untuk memajukan negeri Selangor.
"Meskipun ada kelemahan yang mesti diatasi, namun negeri beta ini telah meneruskan usaha mencapai matlamat negara yang maju dengan prinsip-prinsip pentadbiran yang terbaik dengan prinsip yang paling penting iaitu demokrasi," titah baginda.
Dalam pada itu, Sultan Selangor juga menegaskan bahawa keamanan, keharmonian serta perpaduan kaum di negara ini akan terjejas dengan berlaku beberapa insiden yang melibatkan perbalahan yang dicetuskan oleh sekelompok masyarakat.
"Justeru, beta ingin menyeru kepada semua pihak agar memberhentikan segala tindak-tanduk yang boleh menjejaskan imej negara ini dan menumpukan perhatian ke arah memupuk perpaduan yang erat di kalangan semua kaum." titahnya.
Baginda juga menyeru supaya sikap hormat-menghormati diantara kaum perlu diamalkan setiap waktu agar keharmonian yang berkekalan.
"Sikap hormat-menghormati diantara kaum di negara ini perlulah sentiasa diamalkan bersama bagi menjamin perpaduan di kalangan masyarakat Malaysia," titah baginda. - azm_
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online
Setahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan