Buat perhimpunan setiap bulan!

Buat perhimpunan setiap bulan!

“Ya Tuhan… Turunkan bala pada pengkhianat bangsa!”



Sedih. Hari yang benar-benar menyedihkan jiwa bagi setiap rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu. Lebih sedih kerana aku tak dapat turut serta lantaran halangan urusan kerja.


Nyata tarikh ini - 7 Mac 2009 bukti yang akan menjadi sejarah betapa dahsyatnya pendirian kerajaan yang dikuasai oleh UMNO berhubung dengan soal dasar paling penting bagi sebuah negara Malaysia berdaulat iaitu BAHASA!



Sasterawan Negara, Datuk A.Samad Said dan mantan orang kuat Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Hassan Ahmad dalam kategori veteran itu sanggup mara ke depan bersua muka dengan FRU dan polis hingga dibaling dengan gas pemedih mata.



Mana perginya golongan muda UMNO atau Pekida yang sewaktu dengannya?



Tatkala bahasa Melayu dicabul bermula tahun 2003, mereka yang sebelum ini menyalak mempertahankan kononnya ketuanan Melayu, hak Melayu dan kedaulatan raja tetapi bacul untuk mara ke depan berjuang menentang Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dalam Perhimpunan Aman 100,000 Mansuhkan PPSMI di Kuala Lumpur pada petang tadi.



Laporan Berita TV3 pada sebelah malamnya pula amat berat sebelah. Temubual dengan beberapa orang awam hanya dari sebelah pihak sahaja. Mengapa tidak turut disiar pendapat sebelah pihak lain jika benar TV3 telus dan faham akan tanggungjawab sosial?



Hujah dangkal mereka yang tidak bersetuju dengan gerakan massa 7 Mac itu ialah mengapa tidak diselesaikan secara rundingan?; mengapa mesti dibawa ke jalanan?; menganggu lalulintas dan dieksploitasi oleh kepentingan politik pembangkang.



Walhal, sudah terang lagi bersuluh. Enam tahun sudah berlalu. Ribuan anak-anak Melayu kita sedang ‘diracuni’ mindanya agar menjadi bangsa Inggeris dengan melucutkan ‘baju’ dan jati diri Melayunya!



Segala kertas kerja seminar dan hasil kajian tentang bahayanya PPSMI yang telah dikemukakan oleh para sarjana, cendekiawan dan ilmuwan dibiar berdebu di meja atau mungkin rak bercermin pejabat Kementerian Pelajaran.



Entah-entah sudah lama dibakulsampah sebaik sahaja pegawai terbabit yang menerima segala petisyen dan memorandum berkenaan.



Akhirnya, apabila rundingan tidak menemui penyelesaian maka apa lagi pilihan rakyat?! Turun ke jalanan itulah satu-satunya pilihan!



Tidakkah kita fikir apa sebenarnya kepentingan A.Samad Said di usia senjanya itu untuk sanggup menempah risiko berdepan dengan gas pemedih mata?



Beliau sudah ada gelaran, sudah puas melata ke segenap pelusuk dunia dan selesa kedudukan kewangannya tetapi tetap turun menyuarakan gundah-gulana rakyat terutamanya bangsa Melayu akan nasib bahasanya yang pinta diselamatkan. Samad Said, Hassan Ahmad dan ramai lagi yang turun pada petang Sabtu itu bukanlah mangsa eksploitasi politik PAS dan PKR jauh sekali menyimpan cita-cita politik!



Lainlah dengan penyokong UMNO. Mereka yang turun menyalak menyalahgunakan ketuanan Melayu sebenarnya hanya memikirkan wang penuh di saku dengan tawaran dan jaminan kontrak atas nama kuota untuk orang Melayu!



Pengalaman aku sendiri dalam kerja sekarang ini menyaksikan gelagat mereka yang kian hari menyakitkan hati. Berkali-kali meminta aku membelakangkan prosedur kerja demi kepentingan politik mereka! Nyata mereka tak dapat membezakan tugas dan amanah seorang penjawat awam. Kami bukan pekerja parti politik!



Sebenarnya banyak aku nak perkatakan tetapi masa dan faktor kerahsiaan tidak mengizinkan. Entahlah fikiranku kusut mengenangkan apa yang berlaku selepas ini kepada nasib bangsa, bahasa dan budaya Melayu kita.



Tetapi seperti biasa. Mereka di sekelilingku seperti tidak berasa apa-apa. Bangga dengan pangkat, kerja dan kuasa. Bulan lalu diuar-uarkan mesyuarat dalaman jabatan mesti dibuat dalam bahasa Inggeris sepenuhnya! Walhal, ada antara mereka cakap bahasa Melayu mengikut piawai pun masih pekat diikat loghat negeri! Apa nak jadi sebab segala 'bos' besar di Putrajaya pun sudah banyak abaikan bahasa sendiri meskipun di kertas dikatakan bahasa rasmi!



Mereka tetap bersuka-ria gelak ketawa asalkan wang bulanan sentiasa ada. Cukup makan minum sudah dikira lengkap hidupnya. Tentang nasib bahasa Melayu sama sekali tidak penting bagi mereka….



Apapun, bagi aku pengkhianat bangsa, bahasa dan budaya kita patut dihukum!



Mungkin pilihan raya umum ke-13 jawapannya? Tapi aku dan kita semua tak sanggup menunggu kezaliman terhadap bahasa dan bangsa sendiri dibiar berlaku di depan mata begitu lama.



Atau pilihan raya kecil di Bukit Selambau dan Batang Ai menjadi petunjuknya?



Minggu depan keputusan SPM akan diumumkan? Untung benar caloncalon SPM 2008, mesti graf bagi gred lulus direndahkan untuk mewajarkan PPSMI membantu peningkatan gila-gila “babeng” keputusan periksa mereka!



Teruskan perjuangan! Selepas ini banyakkan lagi demonstrasi begini! Buat setiap bulan.Bagi tekanan pada kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran yang suka menjulang keris tetapi pengecut dan bacul kepada bangsa dan bahasanya sendiri!





Terima kasih... ikhlas dari saya

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.