Apa Bezanya Antara Mereka Berdua?

" Sebulan yang lalu saya telah ke pasaraya Angsana Johor Bahru untuk membeli cermin mata Isteri dan 2 buah buku untuk bacaan saya di rumah. Semasa berhenti di satu persimpangan lampu isyarat saya terlihat satu situasi yang membuatkan saya terfikir pada waktu itu. Malah ia menjadi topik perbincangan saya dan isteri sehinggalah saya sampai di pintu masuk pasaraya tersebut, barulah kami bertukar ke topik perbincangan yang lain. Situasinya begini. semasa saya berhenti di persimpangan lampu isyarat, saya melihat seorang makcik dalam lingkungan 50-an sedang berhenti di tepi kereta saya. Dia menunggang motorsikal jenis skutter. Orangnya agak ranggi dengan pakaian yang agak ketat, tidak bertudung dan berseluar panjang.

Selang beberapa saat selepas itu, seorang lagi penunggang motosikal berhenti bersebelahan kereta saya. Dia juga menunggang skutter. Bezanya kali ini penunggangnya lelaki tua dan berkopiah tanpa topi keledar. Seingat saya tidak sampai seminit, si penunggang lelaki itu bergerak memecut motornya sebelum lampu isyarat bertukar hijau. Sementara si penunggang wanita sabar menunggu sehingga lampu isyarat benar-benar bertukar warnanya daripada merah ke hijau.

Walaupun peristiwa ini telah berlaku lebih kurang sebulan yang lalu, namun ia masih bermain-main diminda saya. Persoalannya ialah apa beza antara mereka berdua. Seorang tidak menutup aurat dengan sempurna tetapi sabar. Sementara seorang lagi berpakaian menutup aurat dan berkopiah tetapi tidak sabar. Kedua-duanya berada di tempat yang sama, tetapi tindakannya berbeza. Jika anda berada di saat itu, apakah persepsi anda pada waktu itu? Sebelum saya melanjutkan tulisan ini, maaf pada golongan yang membawa imej Islam ditengah-tengah masyarakat, ingat bahawa banyak mata sedang memandang kepada anda. Dua orang lelaki sedang merokok, seorang berseluar pendek dan seorang lagi berkopiah. Kedua-duanya Islam, tetapi persepsi terhadap mereka pasti berbeza. Agaknyalah, apa persepsi anda sekiranya anda melihat keadaan tersebut?

Dua orang wanita, seorang tidak bertudung dan seorang lagi bertudung dengan baik sedang ketawa dengan kuat di dalam sebuah restoran makanan segera sehingga mengejutkan orang-orang yang berada di sekelilingnya pada waktu itu.Saya ingin bertanya lagi, apa persepsi anda sekiranya anda turut berada di sana pada waktu itu?

Setiap orang itu akan dinilai dari sudut yang berbeza-beza. Seorang pelajar yang datang dari keluarga bermasalah akan dinilai dari persepsi yang berbeza oleh seorang guru berbanding pelajar yang datang daripada keluarga yang berada dan tidak bermasalah. Begitulah keadaanya apabila seseorang yang sedang membawa imej Islam dalam kehidupannya akan dinilai dengan persepsi yang berbeza berbanding mereka yang hidupnya tidak diurus berlandaskan Islam. Sudah tentu orang yang berimej Islam itu sentiasa dianggap akan membawa nilai-nilai yang baik dalam kehidupan sehariannya. Kesilapan yang kecil yang dilakukan olehnya dianggap besar oleh masyarakat. Malah kesilapan yang dilakukan oleh ahli keluarganya juga akan melibatkan seseorang yang membawa imej Islam itu sendiri. Misalnya seorang anak kepada Si Fulan yang rajin berjemaah di masjid telah dilihat sedang berjalan-jalan di pekan berhampiran tanpa menutup aurat dengan sempurna menyebabkan ayahnya yang dilihat alim itu mendapat nama. Bagaimana kiranya yang berjalan itu adalah anak kepada kaki judi misalnya. Adakah masyarakat akan menyibuk dan mengata si ayah dengan kata-kata yang tidak sedap didengar.

Saya bukan ingin menyakiti hati sesiapa, bukan untuk mengutuk golongan yang membawa imej Islam ini. Apatah lagi berniat untuk memburuk-burukkan mereka. Niat saya satu sahaja, sekadar untuk memesan bukan sahaja buat mereka yang sedang membaca tulisan ini, malah yang lebih utama diri saya sendiri. Sebagai manusia sudah tentulah sifat semulajadinya pasti melakukan kesilapan. Tidak ada manusia yang maksum melainkan Rasul junjungan kita Nabi Muhammad SAW yang bebas dari sebarang dosa. maka, tidak salah kiranya saya menegur anda wahai pembawa imej Islam di mata masyarakat, apatah lagi anda bergelar ustaz atau ustazah kerana " title" yang sedang anda pikul itu teramatlah berat nilainya. oleh itu berhati-hatilah dalam tindakan anda, tutur kata anda dan sebagainya yang boleh merosakkan imej anda di mata masyarakat. ingat, rosaknya imej anda bermakna rosaklah imej Islam yang dipandang pada diri anda. Apabila rosak imej islam yang mereka pandang pada diri anda, sebenarnya mereka yang tidak bersalah, yang sentiasa istiqomah dalam menjaga imej Islam yang di bawanya juga turut dipandang rosak oleh mereka. Inilah harga yang begitu mahal yang terpaksa dibayar oleh anda sebenarnya. Kerana itulah saya menulis artikel ini. Maafkan saya.

Salam ukhwah

www.teratakmuslim.blogspot.com

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.