Krisis di Perak - Hinanya mereka yang tiada hati dan perasaan

Kemelut politik di Perak tiada siapa yang tahu bila akan berakhir. Samada kebenaran itu di sebelah mana sekalipun, yang jelas rakyat di negeri tersebut telah dimangsakan. Kemelut ini bukan sahaja menyusahkan rakyat di Negeri Perak, malahan turut menyusahkan pihak-pihak lain yang sepatutnya tidak diseret sama untuk bergelumang dengan politik sekotor ini. Institusi dan jabatan-jabatan lain yang selama ini tidak dipandang serong oleh masyarakat kini menjadi sebaliknya. Siapakah yang menjadi angkara semua ini? Tidak lain dan tidak bukan adalah kerana adanya insan yang berjiwa tamak haloba dan rakus dengan mengambil kesempatan di atas insan lain yang pentingkan diri sendiri dan tidak bermaruah umpama `pelacur jalanan'.

Amat malang sekali institusi beraja kini menjadi perdebatan umum setelah sekian lama hak dan kuasa raja-raja terhapus akibat kuasa parti politik yang rakus. Kemelut politik ini turut mencemar nama baik institusi beraja yang selama ini disanjungi oleh rakyat khususnya masyarakat Melayu. Apakah yang terfikir oleh seseorang raja atau sultan apabila melihat sekumpulan rakyatnya sanggup berbaring di hadapan kenderaan berflet kuning sambil meratap dan merayu memohon simpati? Mengapa sedemikian rakyat sanggup melakukannya sedangkan datuk nenek mereka pernah mengajar mereka betapa raja dan sultan itu punyai daulatnya dan wajib ditaati. Angkara siapa kejadian yang memilukan ini boleh berlaku? Tidak lain dan tidak bukan adalah kerana adanya manusia bernafsu haiwan, ganas dan tamak kepada kuasa sanggup melakukan apa jua.

Tidak adil bagi saya untuk menyalahkan mereka yang sanggup berbaring, merayu dan menyembah mohon kepada raja mereka. Samada rayuan mereka didengari atau tidak, samada mereka diusir secara kasar atau tidak, hati kecil ini tetap yakin bahawa tiada manusia yang sanggup melihat kezaliman dan penganiayaan berlaku di depan mata melainkan hati-hati mereka tertutup untuk menerima cahaya kebenaran. Kepada siapa mereka perlu mengadu? Mereka punyai raja dan mereka percaya raja mereka tetap meletakkan keadilan untuk semua. Mereka percaya raja mereka telah melihat dan mendengar aduan mereka. Apa yang terjadi bukan soal perubahan dan pertukaran kuasa pemerintahan kerajaan Negeri Perak, tetapi lebih kepada soal maruah diri yang begitu mudah dibeli dengan menjadikan rakyat sebagai tebusan. Di mana letaknya hati dan perasaan manusia yang sanggup melihat derita orang lain sedangkan dirinya bersuka ria dan berseronok dengan kuasa dan jawatan yang dipinjamkan Allah SWT itu?

Kepada rakyat di Perak, memang sudah nasib mu sedemikian rupa. Bukan tiada yang bersimpati denganmu, bukan tiada pahlawan dan wira yang sanggup berjuang demi kesejahteraanmu, tetapi kelian telah melihat sendiri betapa dunia ini kadangkala tidak berlaku adil. Para pejuang yang sanggup ke depan membela nasibmu, kini dicop sebagai pengkhianat dan penderhaka. Dunia lebih menyanjung manusia yang munafik dan zalim daripada membela insan yang sanggup terpenjara dan dizalimi demi membela rakyat. Kemelut di Perak akhirnya pasti sampai ke penghujungnya apabila tiba bantuan dari Allah SWT. Namun, usaha berterusan haruslah dilakukan kerana Allah SWT tidak akan memberi secara mudah tanpa ikhtiar dan pengorbanan dari hambanya. Akhirnya nanti yang hak akan menghapuskan yang bathil, itulah janji Allah SWT.

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.