"Begitu gelojoh pimpinan BN dan ramai pihak membuat ulasan terhadap buah pikiran Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai Unity Goverment (Kerajaan Perpaduan) sejak dua tiga hari ini. Jelas apa yang mereka fikirkan jauh menyimpang dari hasrat asal Presiden Pas.
Hasrat sebenar Presiden Pas
Idea ini bangkit setelah Presiden melihat politik negara yang kian kalut dan ekonomi negara kian serabut dibawah pentadbiran Kerajaan BN yang kini tidak mendapat sokongan 2/3 rakyat Malaysia.
Melihat kepada timbulnya pelbagai isu dan masalah lantaran ketamakkan sesetengah pihak untuk terus berkuasa dan sebahagian lagi berusaha menjadi Kerajaan dalam cara pemikiran mereka, akhirnya membawa timbul suatu keinginan di hati Presiden Pas untuk memberikan jalan tengah untuk rakyat mendapat khidmat yang terbaik.
Percaturan politik yang mengkucar kacirkan negara dikhuatiri meninggalkan kesan yang panjang terhadap struktur ekonomi dan sosial negara. Kerajaan BN yang memerintah juga dilihat bertindak berdasarkan keperluan mereka bukannya keperluan keseluruhan rakyat. Pembangkang pula seolah-olah dinafikan idea-idea mereka dan ini membuka ruang yang luas untuk percakaran hebat peringkat kepimpinan negara dan akar umbi keseluruhannya.
Atas prinsip menjaga kepentingan rakyat, Presiden Pas menawarkan idea Kerajaan Perpaduan tanpa pembangkang (Pembangkang tetap wujud tetapi sebagai kumpulan yang bekerja dalam membantu mencipta dasar yang lebih baik) dimana idea ini mengemukakan pandangan berat untuk difikirkan semua.
Ianya untuk kebaikkan seluruh rakyat dan negara, bukan untuk Melayu sahaja!
Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat, Ust. Nasaruddin Hassan Tantawi merumuskan pandangan Presiden Pas ini sebagai satu alternatif untuk mengabungkan kembali rakyat dibawah satu tadbir urus yang disiplinnya menumpukan kepada soal kebersamaan memperbaiki ekonomi negara dan mempertahankan semangat perpaduan seluruh rakyat.
Idea besar ini harus dilihat sebagai satu peluang 'gencatan senjata' yang mana tiada siapa yang harus dikorbankan melainkan kepentingan parti atau individu sahaja. Ia membawa semua pemimpin dan rakyat berfikir atas dasar unity bukannya individualistik.
Pas mahu Kerajaan Perpaduan ini menguruskan isu-isu dan kepentingan semua kaum dan tidak tertumpu pada kaum tertentu seperti Melayu sahaja. Pas melihat semua rakyat tanpa mengira latar belakang bangsa, agama dan fahaman politik berhak untuk menerima layanan yang adil (bukan ditafsir sebagai sama rata).
Kerajaan Perpaduan bukan bererti Pas sertai BN
Pas bukannya menawar diri untuk sertai BN atau bergabung dengan Umno untuk perkukuhkan Melayu. Pandangan itu jauh meleset dari apa yang dibawa oleh Presiden Pas.
Pemikiran Presiden Pas tetap bersama dengan apa yang diingini oleh Musyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat iaitu menolak gagasan Kerajaan Campuran yang berlandaskan sistem politik satu Parti yang bergabung dibawah BN sahaja.
Apa yang mahu diutarakan adalah kesatuan pentadbiran dibawah urustadbir pelbagai parti yang memerintah dimana kumpulan pembangkang diberikan ruang yang secukupnya untuk menyertai urustadbir negeri dan negara berdasarkan keperluan tertentu.
Ini bermakna, BN kekal dengan komponennya, Pakatan kekal dengan komponennya. Apa yang harus diperbaiki adalah senarai urustadbir Kerajaan dan juga struktur hubungan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
Ianya Penyelesaian kepada masalah urustadbir negara
Hari ini kita melihat Kerajaan Persekutuan mempergunakan kuasa Persekutuan mereka untuk menafikan hak Kerajaan negeri memerintah dengan menyalurkan bantuan Persekutuan kepada Jabatan Kerajaan Persekutuan yang diwujudkan disemua negeri yang di perintah Pakatan. Tindakan ini menyebabkan Kerajaan Negeri yang diperintah Pakatan tidak mendapat peruntukan yang sepatutnya.
Ini sekaligus meningkatkan perbelanjaan Kerajaan diperingkat negeri dan negara sekaligusnya menjadikan dana negara sebagai modal percaturan politik bukannya dana untuk membantu rakyat.
Selain itu dalam isu-isu melibatkan soal tanah, balak dan air juga sering wujud perbezaan tindakan lantaran pengaruh kepentingan ideologi politik. Kerajaan Pas di Kedah baru-baru ini mengancam menebang balak dikawasan hutan simpan tadahan air sebagai reaksi terdesak untuk mendapatkan dana menguruskan negeri setelah Kerajaan Persekutuan menafikan hak Kerajaan Kedah menerima bantuan kewangan dan royalti.
Selangor pula berebut dengan Persekutuan dalam soal menguruskan air negeri. Manakala beberapa projek mega di Pulau Pinang menjadi bahan perdebatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
Projek ECER di Kelantan juga menjadi persoalan di mana Kerajaan Negeri tidak dijemput secara serius untuk menyertainya.
Selain itu, salah urustadbir diperingkat Persekutuan dan negeri juga sukar dibendung hingga menyebabkan gejala rasuah berleluasa kerana tiadanya check & balance peringkat akar umbi pentadbiran. Isu-isu salahguna kuasa hanya dapat dibangkitkan diperingkat Parlimen dan ini mengambil masa yang panjang sedangan dana-dana negara setiap hari dirompak oleh mereka yang korup.
Oleh itu dengan penyertaan anggota Pakatan dalam organisasi atau urustadbir Kerajaan maka usaha check & balance itu boleh dilakukan diperingkat dasar tanpa perlu dibawa ke peringkat Parlimen.
Dalam erti kata lain anggota Pakatan diberikan ruang untuk membantu menyelesaikan masalah dari dalam pentadbiran bukannya menjadikan sebagai isu politik tanpa cadangan penyelesaian.
Disamping itu pakar-pakar dari pakatan juga boleh dijemput bagi menganggotai kumpulan pengurusan atau pakar yang lain bagi mencari jalan penyelesaian terhadap isu-isu ekonomi dan masalah lain. Ini bermakna, mereka bukan sekadar dipanggil memberikan pandangan melalui forum atau diskusi, mereka boleh dipanggil untuk bermesyuarat dan membantu mencipta dasar.
Selalunya kita melihat budget dibentang berdasarkan idea pemimpin BN dan kemudiannya pemimpin pakatan keluarkan cadangan budget mereka sebagai alternatif.
Kedua-duanya mempuanyai idea, tapi idea Pakatan tidak digunakan kerana BN bertegas dengan idea budget mereka tanpa berunding secara ekonomik bersama pimpinan Pakatan. Ini sekaligus memperlihatkan bahawa adanya tanda keegoan dan pergeseran pandangan ekonomi atas kepentingan politik disitu.
Rakyat keseluruhannya mahu melihat idea positif Pakatan dan BN digabungkan dalam membentuk dasar-dasar dan budget negara.
Dimana kedudukan Pakatan, BN
Ramai yang salah faham dengan idea Unity Goverment atau Kerajaan perpaduan ini dimana mereka secara mudah melihat Pas akan masuk Umno atau Pakatan perlu bersatu dibawah BN.
Sekali lagi ditegaskan bahawa itu tidak akan terjadi kerana prinsip Kerajaan Campuran, Kerajaan Perpaduan dan pelbagai jenis Kerajaan Gabungan masih boleh dibentuk tanpa adanya pengabung parti atau kumpulan parti yang besar.
Matlamat yang diutarakan oleh Presiden Pas adalah menyatukan pentadbiran negara tanpa adanya prasangka dan tindas menindas, dimana Kerajaan Pakatan boleh tadbir negeri dengan bantuan Kerajaan Persekutuan BN dengan aman dan sebaliknya Kerajaan Persekutuan boleh laksanakan dasar Persekutuan dengan sokongan Kerajaan Negeri Pakatan.
Sekiranya ada masalah atau pandangan, ianya boleh disalurkan terus melalui agensi berkaitan di mana wakil-wakil Pakatan dan BN diberikan peluang untuk menyertai agensi Kerajaan sebagai kumpulan check & balance atau think tank.
Apa yang berlaku sekarang, anggota atau pemimpin Pakatan berada diluar pentadbiran Kerajaan dan cadangannya mereka hanya didengar di Parlimen. Oleh itu lebih baik mereka dipanggil sertai pentadbiran Kerajaan dan sama-sama turun tangan memberikan sumbangan terus untuk negara dan rakyat walaupun berbeza parti.
Kita melihat apa yang berlaku di Pulau Pinang dan Selangor sebagai contoh dimana pemimpin Gerakan-BN diberikan ruang sertai Kerajaan bagi membantu meningkatkan ekonomi dan melancarkan pengurusan negeri.
Di situ wujud kebersamaan hasrat walaupun mempunyai kepentingan politik yang berbeza.
Pakatan dan BN tetap berjalan dilandasan politik masing-masing tetapi menjadikan hasrat memberikan khidmat terbaik dan menjaga kepentingan rakyat sebagai keutamaan.
Dalam hal ini kedua-dua pihak dapat menyampaikan mesej mereka secara adil kepada rakyat sekaligus memberikan kebaikan pada semua tanpa menjadikan rakyat sebagai korban perang politik!
Presiden Pas punyai pandangan yang lebih besar
Apa yang saya tulis disini adalah pandangan serpihan yang kecil jika hendak dibandingkan dengan gagasan pemikiran Presiden. Dan saya yakin Presiden mahu melihat negara ini diurus dengan lebih adil dan harmoni, bukannya atas kepentingan politik sahaja.
Matlamat setiap ahli politik adalah untuk memberikan khidmat yang terbaik pada rakyatnya bukan untuk mendapatkan khidmat terbaik untuk dirinya dari rakyatnya. Oleh itu disana ada tanggungjawab yang harus dilaksanakan.
Gagasan Presiden Pas ini wajar direnung dan dikembangkan serta tidak dikongkong dengan pandang sempit ke arah penyatuan BN dan Pakatan atau Pas dan umno sahaja!
Fikirlah untuk rakyat, bukannya untuk kepentingan diri dan nafsu politik sahaja. Politik yang didasari dengan iman akan menjadikan tuhan sebagai sembahan dan rakyat tempat untuk berkhidmat.
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online
Setahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan