Selesaikan Segera Krisis DUN Dengan Pilihanraya

"Nampaknya Sidang tergempar DUN Perak juga cuba dihalang. Krisis di Perak perlu diselesaikan segera kerana amat ditakuti krisis ini akan berlarutan dan terlalu sukar untuk diselesaikan dan akan melibatkan banyak masalah yang saling kait mengait.

Pilihanraya adalah cara yang paling sesuai buat masa kini. Setakat ini semua pihak akan menerima keputusan pilihanraya tersebut dan segala kes mahkamah secara automatiknya terhenti.

Akan menjadi masalah nanti sekiranya keadaan semakin rumit sehingga keputusan pilihanraya pun pada masa itu tidak dapat diterima oleh semua pihak. Dirasakan tak perlulah kita menunggu sehingga saat yang sebegitu. Takut nanti masalah seperti di Thailand yang tak selesai biar pun telah bertahun-tahun berlalu dan walaupun pilihanraya telah diadakan.

Menurut Pengerusi DAP Perak Dato Ngeh Koo Ham, penasihat undang-undang Datuk Ahmad Kamal Mohd Shahid, telah mengarahkan Setiausaha Dewan agar tidak menghantar notis mengenai persidangan tergempar itu. Laporan utusan online update 28/02/2009 3:49pm melaporkan Najib Tun Razak menegaskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak tidak boleh mengadakan sidang tergempar Selasa ini selagi mahkamah belum membuat keputusan berhubung dua kes berkaitan kerajaan negeri itu. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Pengajian Tinggi Negara Zon Timur di Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Gambang dekat sini hari ini.

Mengikut Perintah-perintah Tetap 8, seseorang speaker boleh memanggil persidangan tergempar dalam keadaan-keadaan yang amat memerlukan. Dalam keadaan biasa, notis 14 hari diperlukan untuk memanggil dewan untuk bersidang. Tetapi dalam keadaan tergempar, notis itu tidak diperlukan. Begitu juga, Perintah-perintah Tetap 11 memberi kuasa penuh kepada speaker untuk menetapkan tarikh dan masa mesyuarat yang akan diadakan.

Apakah lagi peruntukan undang-undang lain yang diperlukan bagi membolehkan seseorang speaker untuk memanggil Dewan bersidang? Undang-undang ini jelas menunjukkan speaker mempunyai budibicara dan hak untuk memanggil dewan bermesyuarat.

Tetapi, sekali lagi kuasa speaker dicabar dan dicabuli oleh pihak eksekutif. Penasihat Undang-undang Negeri Perak campurtangan dalam kuasa legislatif dengan cuba menghalang daripada mengadakan sidang dewan tergempar ini. Beliau memberi pelbagai alasan dan tafsiran undang-undang yang tidak munasabah untuk menghalang Setiausaha Dewan menghantar notis kepada Ahli-ahli Dewan Negeri bekenaan dengan sidang dewan tersebut.

Apakah kuasa yang ada pada Penasihat Undang-undang dalam menghalang persidangan dewan tergempar? Siapakah memberikan kuasa sedemikian untuk bertindak diluar bidangkuasanya? Tindakan beliau boleh disahihkan sebagai satu lagi penghinaan terhadap dewan undangan negeri Perak yang mulia. Beliau tidak ada kuasa untuk menasihat atau memaksa Speaker untuk tidak mengadakan persidangan Dewan Negeri. Penasihat Undang-undang cuba mentafsir undang-undang bagaikan ‘ada udang disebalik batu’.

Dua usul akan dibentangkan pada persidangan itu. Yang pertama oleh Adun Titi Serong, Khalil Idham Lim untuk mengulangi pendirian dan keyakinan bahawa Dato Seri Mohammad Nizar Jamaluddin untuk terus bertindak sebagai Menteri Besar. Usul kedua ialah oleh Adun Teja, Chang Lih Kang untuk memohon Menteri Besar menyelesaikan krisisis politik semasa dengan kaedah yang sewajarnya untuk membubarkan DUN, termasuk memohon perkenan Paduka Seri Tuanku Sultan Perak, Sultan Azlan Shah untuk membubarkan DUN.
"

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.