Sebelum ini saya sudah ada menyebut bahawa menurut hemat saya, masyarakat kita dilanda keresahan. Bukan kecil atau besarnya isu, dan bukan juga ringan atau seriusnya sesuatu perkara, yang jelas adalah lebih kepada perasaan resah. Resah gelisah itu di zahirkan dalam bentuk demonstrasi.
Tidak ada statistik dikeluarkan, namun kalau kita ingat dalam lima tahun terakhir ini amat banyak terjadinya demonstrasi terhadap berbagai isu. Kita memasuki tahun 2009 ini dengan hidangan lebih banyak demonstrasi.
Kalau sebelum ini demonstrasi lazimnya dikaitkan sebagai budaya Parti Pembangkang, penduduk setinggan, pekerja atau buruh dan pelajar IPT. Tetapi kini budaya demonstrasi sudah berjangkit dan merebak kepada anggota Parti Kerajaan khususnya UMNO. UMNO menggunakan pendekatan yang sama iaitu berdemonstrasi dalam isu Karpal Singh. Golongan yang bergelar intelek pun menganjurkan demonstrasi, contohnya dalam isu Bahasa Melayu. Agaknya apa lagi yang bakal kita saksikan seterusnya?
Mahu tidak mahu kita mesti mengakui bahawa kegelisahan masyarakat itu sudah tidak dapat dibendung. Undang-undang yang menghalang perhimpunan tanpa permit dan mengganggu ketenteraman awam sudah tidak dipedulikan. Ini kerana kegelisahan itu adalah sejenis perasaan. Perasaan kecewa, tidak puas hati, marah, geram, dendam, putus asa, apabila sampai ketahap tidak dapat dibendung, manusia sanggup berbuat dan bertindak diluar batas. Bahkan manusia sanggup hingga keperingkat menggadai nyawa samada nyawanya semdiri atau nyawa orang lain atau kedua-duanya sekali. Menggadai nyawa sendiri seperti membunuh diri. Menggadai nyawa orang lain seperti berperang. Menggadai kedua-duanya sekali seperti meletuplan diri ditempat musuh. Inilah diantara kesan luahan perasaan yang memuncak. Maka demonstrasi merupakan salah satu cara luahan perasaan sederhana. Tetapi perlu diingat, kalau tidak diubati akan bertambah parah yang mungkin membawa akibat yang lebih teruk.
Banyaknya berlaku demonstrasi adalah tanda rakyat lemah jiwa, tidak kuat untuk menahan perasaan dalam berhadapan dengan masaalah. Bagi bangsa yang lemah jiwa atau berjiwa kerdil, satu masaalah dirasakan seolah-olah sepuluh masalah. Kalau berhadapan dengan sepuluh masalah dirasakan seolah-olah seratus masalah. Betapalah kalau menanggung seratus masaalah, lebih-lebih lagilah mudah kecewa dan putus asa. Bangsa yang memiliki kekuatan jiwa atau berjiwa besar, seribu masalah dirasakan sebagai tiada masalah bahkan merasakan mendapat keuntungan dari setiap masalah.
Untuk melahirkan bangsa yang berjiwa besar dan kuat hendaklah dididik bangsa itu menjadikan Tuhan sebagai cita-cita dan matlamat hidup. Didik rakyat hingga mereka merasakan Tuhan segala-galanya, darah daging, hidup mati, lantas sangat mempromosi dan memperjuangkan Tuhan. Hasil dari memperjuangkan Tuhan akan lahirlah bangsa yang memiliki lima sifat yang juga merupakan syarat untuk bangsa itu berjaya.
1. Rajin dan bersungguh-sungguh.
2. Berani.
3. Sabar, tabah dan cekal.
4. Bertanggungjawab dan sangat berdisiplin.
5. Kreatif dan cerdik
Tuhan perintahkan manusia supaya takutkan Tuhan. Apabila manusia takutkan Tuhan secara otamatik manusia menjadi baik. Kebaikan manusia itu kembali faedah dan manfaatnya dikecapi oleh manusia. Semua manusia sukakan kebaikan. Kalau demikian memang amat perlu manusia dididik untuk takutkan Tuhan.
Tuhan perintahkan manusia supaya mencinai Tuhan. Apabila manusia mencintai Tuhan secara otamatik manusia hidup berkasih sayang. Semua manusia sukakan kasih sayang kerana ianya adalah fitrah semua manusia. Kalau begitu memang wajar diusahakan agar manusia mencintai Tuhan.
Jalan keluarnya adalah terletak ditangan pemimpin dan ulama dalam mendidik manusia bercita-cita Tuhan, takut dan cintakan Tuhan. Pemimpin dan ulama patut mengakui dan mesti bertanggungjawab. Pemimpin dan ulama tidak boleh berlepas tangan atau membiarkan sahaja, atau berpuas hati dengan keadaan rakyat dalam keadaan lemah jiwa, keluh kesah dan gelisah. Dalam keadaan lemah jiwa, keluh kesah dan gelisah inilah rakyat merasakan mereka tidak terbela dan tiada tempat mengadu. Sebenarnya bukan besar sangat persoalan masalah yang dihadapi itu, tetapi seolah-olah masalah rakyat tidak dipedulikan. Apa akan terjadi? Akhirnya nanti orang politik akan ditolak oleh rakyat. Raja-Raja mempunyai hak untuk memberi kuasa kepada siapa sahaja, walaupun bukan orang politik, asalkan dapat mendamaikan suasana negara dan Rakyat.
Rasulullah saw ada menyebut dalam Hadis Baginda dengan maksud, ‘Dua golongan apabila baik maka baiklah rakyat iaitu Umara Dan Ulama.’
Dan dalam Hadis lain Rasulullah menyifatkan para pemimpin itu, ‘Penghulu kepada satu kaum itu adalah khadam kepada kaumnya.’
Dalam Hadis pertama bagi orang Melayu pemimpin dengan rakyat diumpamakan kayu dengan bayangnya. Kayu yang lurus sudah pasti bayangnya lurus. Kalau bayangnya bengkok, tanpa melihat kayunya sudah tahu bahawa kayunya bengkok. Untuk melahirkan rakyat cita-cita dan matlamatnya Tuhan, memperjuangkan Tuhan, takut dan cintakan Tuhan, maka pemimpin dan ulama mestilah dari kalangan yang begitu sifatnya. Sekarang ini apa yang terjadi memperlihatkan rakyat tidak mempedulikan Tuhan atau meminggirkan Tuhan adalah disebabkan pemimpin dan ulama yang memang tidak mempedulikan Tuhan atau meminggirkan Tuhan. Pemimpin dan ulama tidak membawa Tuhan bersama atau tidak membawa Tuhan campur tangan dalam segala urusan hidup.
Dalam Hadis kedua pula Rasulullah saw maksudkan bahawa pemimpin adalah orang yang sangat berkhidmat kepada rakyat. Khidmat disini janganlah pula melihat dalam aspek lahiriah semata-mata. Biar pun dalam realitinya tuntutan lahiriah itu belum sempurna namun usaha kearah itu sentiasa dibuat. Apa yang tercicir ialah khidmat dalam memenuhi tuntutan rohaniah dan maknawiayah rakyat. Sedangkan kalau selesai aspek rohaniah rakyat, akan membawa kepada kesan yang lebih positif. Rakyat perlukan pemimpin umpama Saidina Umar Bin Ibnu Abd Aziz yang mempunyai karamah dan berkat. Dizaman pemerintahan Saidina Umar Ibnu Abd Aziz, bukan sahaja rakyatnya berkasih sayang, bahkan kambing dan serigala pun boleh bergurau senda. Tiada rakyatnya yang layak menerima zakat, bukan semata-mata semuanya kaya harta, bahkan golongan fakir pun merasai tidak layak menerima zakat. Ini kerana mereka memiliki kekayaan jiwa hingga miskin pun dirasai kaya lantas menolak zakat. Golongan miskinnya merasai tidak layak menerima zakat kerana sangat berpuas hati dengan apa yang dimiliki. Zaman ini bukan sahaja golongan miskin keluh kesah dan menderita hingga meminta-minta, golongan kaya pun turut merasai miskin serta merasa tidak cukup. Mereka turut mencari peluang untuk memperolehi zakat. Sebab itu orang kaya zaman ini rata-rata kedekut dan tamak. Zaman Saidina Umar Ibnu Abd Aziz, hasil dari karamah dan berkat, luntur hati rakyat untuk melakukan maksiat. Gejala sosialnya sangat minima. Tanamannya subur dan banyak mengeluarkan hasil. Binatang ternakan sangat membiak. Cuaca sangat terkawal seolah-olah ada thermostat sehingga tiada kepanasan yang melampau hingga kemarau. Dan tiada juga hujan yang melampau hingga mengakibatkan banjir. Inilah maksudnya pemerintahan yang mendapat bantuan dan pertolongan Allah swt hasil dari ketaqwaan Saidina Umar Ibnu Abd Aziz.
Kalau rohaniah rakyat selesai, kekurangan, cacat cela dan sedikit terabai dalam aspek material dengan mudah dapat diatasi. Ini kerana jiwa rakyat sudah kuat , baik dan sangat mudah menerima seadanya. Kalau sedikit tak puas hati pun mampu dipendam tanpa perlu diluahkan. Lebih-lebih lagi tidak akan sampai meluahkan perasaan secara terbuka melalui demonstrasi. Ini termasuk akan lahirlah rakyat yang berkasih sayang, berlapang dada, bertolak ansur. Lahirlah rakyat yang bersedia untuk berbeza pendapat, mudah berunding, boleh bermuafakat, sepakat dan seia sekata. Natijahnya lahirlah rakyat yang memiliki perpaduan yang utuh dan kukuh. Keadaan ini hanya akan terjadi bermula dari pemimpin dan ulama yang benar takut dan cintakan Tuhan dan sangat memperjuangkan Tuhan. Sekaligus sangat membawa kasih sayang kepada rakyat. Sangat menyelamatkan, sangat membela dan sangat menghiburkan. Inilah sifat pemimpin yang perlu ada untuk menjadikan negara yang aman makmur dan mendapat keampunan Allah. Nescaya rakyat tidak lagi resah dan demonstrasi tidak akan berlaku lagi.
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online
Setahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan