Apakah SPRM, Umno dan Gerak punyai perkaitan kerja?

APAKAH SPRM hanya akan bertindak kepada pimpinan Pakatan Rakyat? Kita juga boleh lihat contoh yang sama berlaku di Perak bagaimana V. Sivakumar dipanggil oleh SPRM negeri tersebut sehari selepas Umno membuat laporan terhadapnya berkaitan dengan isu penggantungan Zambry Kadir dan exco-exconya? Apakah perkaitan di antara SPRM, Umno dan Gerak? Apakah ketiga-tiga organisasi ini mempunyai perkaitan kerja?
Iklan




DI AKHIR-AKHIR riwayat Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kelima, reformasi yang dijanjikan dalam kempen pilihan raya 2004 cuba dilaksanakan dengan tergesa-gesa.

Di antara yang cuba dilaksanakan ialah reformasi terhadap Badan Pencegah Rasuah (BPR) agar pencegahan rasuah di Malaysia dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. Maka idea untuk melaksanakan sebuah suruhanjaya yang bebas dan diletakkan dibawah kuasa parlimen pun timbul.

BPR dahulu dikritik dan dikecam kerana dilihat hanya menagkap "ikan-ikan bilis" yang boleh diertinya sebagai kes-kes yang kecil. Contohnya, kes-kes seperti anggota keselamatan yang ditahan kerana meminta rasuah sebanyak RM200. Sedangkan banyak laporan-laporan rasuah yang dibuat melibatkan pemimpin kanan kerajaan yang berpangkat menteri dan melibatkan jutaan RM tidak diambil sebarang tindakan.

Pada ketika itu, ramai yang berpendapat BPR tidak dapat menjalankan tugas dengan bebas dan berkesan oleh kerana badan tersebut terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Di atas dasar sebuah badan yang mencegah rasuah perlu bebas dari cengkaman daripada pemerintah untuk memastikan keberkesanan tugasnya, maka tertubuhlah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas diluluskan di Dewan Rakyat Disember 2008.

Pembentangan Rang Undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disokong oleh majoriti ahli-ahli parlimen Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat dengan harapan rasuah dapat dibenteras di Malaysia dengan lebih agresif.

Di hari pertama BPR menjadi SPRM iaitu pada 2 Januari 2009, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Keadilan Rakyat, Badrul Hisham Shaharin yang mesra dengan panggilan Chegubard menyerahkan dokumen setebal 60 muka surat yang mengandungi pelbagai laporan rasuah lama dan baru sempena dengan pemulaan baru SPRM.

Menurut Badrul, dokumen berkenaan diserahkan bagi menguji peranan SPRM yang telah ditubuhkan tanpa sebarang pindaan di parlimen ini mampu melakukan tugas dengan baik.

"Ini adalah laporan pertama kepada SPRM. Sekiranya SPRM gagal bertindak terhadapnya (dokumen yang diserahkan) maka rakyat akan terus kecewa kerana wang yang dibayar melalui cukai terbazir untuk memenuhi retorik politik perang rasuah yang hanya menangkap ikan bilis atau pendakwaan berdasarkan politik," katanya di luar Ibu Pejabat SPRM.

Dalam dokumen berkenaan turut mengandungi laporan rasuah bekas Ketua Menteri Melaka Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Rafidah Aziz yang pernah dibuat beberapa tahun dulu.

"Dokumen ini turut mengandungi laporan rasuah yang Rahim dan Rafidah serta laporan yang yang pernah Badan Pencegahan Rasuah (BPR) sahkan tertuduh bersalah, namun tidak ada satu pendakwaan dibuat keatas individu berkenaan," katanya.

Selain kes Rahim dan Rafidah yang kedua-duanya dalam perebutan jawatan didalam Umno, dokumen berkenaan turut mengandungi laporan skandal korupsi mantan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohd, keluarga serta kroninya didalam Perwaja dan Perlantikan Hakim dalam Skandal VK Lingam.

Skandal korupsi Perdana Menteri Abdullah Badawi, keluarga dan kroni dalam beberapa organisasi, antaranya, Scomi, ECM Libra, korupsi antarabangsa Oil For Foor serta agihan kontrak makanan tentera dan Mas turut diserta dalam laporan berkenaan.

Laporan skandal korupsi bakal Perdana Menteri Najib Tun Razak serta kroninya yang terlibat dalam kes pembelian kapal selam, europyer dan jet serta pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shariibuu turut diserahkan dalam dokumen berkenaan.

Begitu banyak sekali laporan rasuah yang melibatkan pemimpin-pemimpin tertinggi kerajaan termasuklah Perdana Menteri dan Timbalnnya dihantar oleh Badrul dan rakan-rakannya dihari pertama SPRM dibuka.

20 hari selepas Badrul Hisham menghantar laporan bukti rasuah pemimpin tertinggi negara, Gerak yang kini dipimpin oleh Mohd Nazree Yunus membuat aduan kepada SPRM mendakwa Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk membeli 46 ekor lembu bagi bahagian Parlimen Bandar Tun Razak pada 21 Januari 2009.

Khalid juga merupakan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak yang terletak di Wilayah Persekutuan.

Beliau mendakwa Menteri Besar telah membeli 46 ekor lembu pada harga RM110,400 sempena sambutan Aidiladha yang lalu bagi bahagian Parlimennya. Bayaran bagi pembelian lembu berkenaan dijelaskan oleh Selangor Industrial Corporation Sdn. Bhd., sebuah anak syarikat kerajaan negeri.

Lima hari selepas itu, Gerak sekali lagi membuat laporan kepada SPRM, mendakwa Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyalah guna wang kerajaan negeri sebanyak RM7,779 untuk kegunaan peribadi.

Pengerusi Gerak, Nazree Mohd Yunus, membuat laporan kepada SPRM mendakwa Menteri Besar itu menyalah guna sejumlah wang rakyat untuk menyelenggara kereta Lexus miliknya.

Dalam laporan yang diserahkan kepada SPRM kira-kira jam 4.45 petang itu, Gerak mendakwa mempunyai bukti bahawa wang kerajaan negeri digunakan untuk membiayai kos penyelenggaraan kereta peribadi Menteri Besar itu secara berkala.

MB Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim telah menafikan kedua-dua dakwaan berkenaan. Menurut beliau, lembu-lembu didermakan oleh anak syarikat kerajaan negeri sebagai satu tanggungjawab sosial syarikat tersebut. Manakala kereta Lexus milik peribadinya itu telah diisytiharkan sebagai kenderaan rasmi Menteri Besar Selangor.

Tidak berapa lama selepas Gerak membuat laporan kepada SPRM, pada 20 Febuari 2009, SPRM membuat kenyataan bahawa mereka mempunyai bukti-bukti yang mencukupi untuk mendakwa Menteri Besar Selangor itu diatas tuduhan rasuah.

Pengumuman tersebut dibuat sendiri oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan. Pengumuman Ahmad Said itu telah menimbulkan kemarahan ramai pihak.

Menurut Peguam kepada Menteri Besar Selangor, Sankara Nair berkata, menjadi amalan suruhanjaya tersebut selama ini tidak mendedahkan pada umum hasil siasatan yang dijalankannya.

Sehubungan itu, Sankaran bertanya mengapa Ahmad Said tidak membuat perkara yang sama apabila siasatan terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail selesai.

Tindakan SPRM itu, katanya, harus dipandang berat kerana anak guamnya - seorang ahli politik pembangkang - telah ditonjolkan agar kelihatan bersalah "di mata umum sebelum beliau didakwa dan didapati bersalah oleh mahkamah".

Apa yang dipertikaikan lagi ialah mengapa SPRM hanya bertindak terhadap laporan rasuah yang dikemukakan oleh Gerak dan tidak bertindak terhadap puluhan laporan rasuah seperti yang dikemukakan oleh Badrul Hisham pada 2 Januari?

Mengapa pula Ketua Pesuruhjaya SPRM mengumumkan mengenai kes MB Selangor kepada media tetapi hanya mendiamkan diri dalam isu siasatan terhadap Tan Sri Musa Hassan dan Tan Sri Ghani Patail yang telah selesai disiasat?

Apakah SPRM hanya akan bertindak kepada pimpinan Pakatan Rakyat?

Kita juga boleh lihat contoh yang sama berlaku di Perak bagaimana V. Sivakumar dipanggil oleh SPRM negeri tersebut sehari selepas Umno membuat laporan terhadapnya berkaitan dengan isu penggantungan Zambry Kadir dan exco-exconya?

Apakah perkaitan di antara SPRM, Umno dan Gerak? Apakah ketiga-tiga organisasi ini mempunyai perkaitan kerja?

Di atas tindakan-tindakan SPRM yang dilihat sebagai berat sebelah dan seringkali membuat dakwaan terpilih walaupun baru sahaja bertugas, dua peristiwa besar telah berlaku yang mana kita boleh lihat sebagai manifestasi hilangnya kredibiliti SPRM di mata rakyat.

Sehari selepas SPRM dilancarkan oleh Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi yang akan bersara tidak lama lagi, dua peristiwa besar telah menggemparkan SPRM. Pada 25 Febuari 2009, Sekretariat Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) sebuah organisasi yang menghimpunkan anak muda dari pelbagai latarbelakang telah membuat lawatan mengejut di Pejabat SPRM di Putrajaya.

Selain melawat, SAMM telah membakar dokumen-dokumen rasuah yang pernah dihantar kepada SPRM sebagai tanda mereka telah hilang keyakinan terhadap badan pencegah rasuah yang dilihat berat sebelah dan membuat pendakwaan terpilih. Acara tersebut menjadi bertambah lucu apabila pengawal keselamatan yang bertugas di SPRM gagal untuk memadamkan dokumen-dokumen yang dibakar tersebut.

Sementara itu, pada sebelah petangnya, Angkatan Muda Keadilan (AMK) telah menghadiahkan seekor lembu kepada Pejabat SPRM Selangor sebagai satu simbol bahawa SPRM telah menjadi lembu kepada parti politik tertentu.

Kedua-dua peristiwa ini harus dipandang serius oleh SPRM untuk memperbetulkan arah dan hala tuju organisasi tersebut. Oleh kerana SPRM masih baru, masih belum terlambat untuk organisasi itu kembali ke landasan yang betul. Kedua-dua peristiwa bakar dokumen dan penghantaran lembu ke pejabat SPRM bukanlah petanda yang baik bagi organisasi yang baru sehari dilancarkan.

Jika tidak berubah, SPRM akan gagal untuk melaksanakan wawasan Abdullah Ahmad Badawi untuk mereformasikan badan tersebut. Oleh kerana wang gaji pesuruhjaya, pegawai dan pekerja SPRM dibayar oleh rakyat, maka badan ini haruslah mempunyai tanggungjawab kepada rakyat. Jangan sampai rakyat hilang keyakinan. Nanti buruk padahnya! - tmj _

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.