" Ibnu Hasyim Catatan Santai
NENEK saya dulu bercerita, semasa menunaikan fardhu haji di Makkah kira-kira 1930an, kalau polis kerajaan Saudi melintas dekat bilik jamaah mereka, dan terdengar bunyi merengek-rengek muzik dari radio, dia tolak pintu terus merempuh masuk… “Haram!” katanya, dan merampas radio itu. Begitu tegasnya paraturan.
Hujung 1980an, semasa saya berada di Makkah kalau saya lalui kedai video (waktu itu belum ada VCD), saya lihat itulah kedai yang sentiasa penuh pelanggan. Sehingga dipintu kedai bertulis ‘for man only’, perempuan tidak dibenarkan masuk. Di dalamnya terpasang kuat lagu-lagu dan VCD, di mana pengunjungnya sedang bersorak gembira mengikut rentak lagu yang dipasang. Tertanya-tanya dalam hati saya, lagu apa yang menarik sangat itu?
Saya pun masuk, rupanya terlihat video Hetty Koes Endang, artis jelita dari Indonesia sedang menyanyi dan bergencok, di antara banyak artis-artis antarabangsa lain. Waktu itu, ia berpakaian macam artis-artis lain menjolok mata (tetapi sekarang khabarnya ia sudah pakai pakaian menutup aurat), sedangkan wanita-wanita di Arab Saudi dahulu dan sekarang memang memakai pakaian menutup aurat (purdah).
Cuma hari ini saya lihat di internet, dikatakan di Arab Saudi, tiba-tiba menjadi gempar. Seorang wanita, Noura Abdullah Al-Faez telah dilantik sebagai Menteri di Kementerian Pendidikan dan Pelajaran Urusan Wanita, beberapa hari lepas.. pertamakali berlaku dalam sejarah negara itu. “Kerajaan Saudi sedang menyampaikan pesan yang jelas kepada dunia, bahawa kami sedang menuju arah moderat, toleran dan fleksibel.” Jelas Menteri Penerangan Saudi, Abdul Aziz Al-Khoja.
“Ini adalah penghargaan bukan hanya untuk saya, tetapi juga untuk semua wanita Arab Saudi,” kata Noura. Noura Abdullah Al-Faez adalah ibu kepada lima anak, lulusan university Amerika, pernah memegang jawatan di Institut Pentadbiran Awan Arab Saudi.
Beliau diangkat oleh Raja Abdullah bin Abdul Aziz Al-Saud, raja Saudi sekarang. Raja Abdullah lahir tahun 1924, Raja Arab Saudi ke 6. Dari empat isterinya, lahir 10 putera dan 10 puteri. Abdullah mendapat pendidikan tradisional di lingkungan Sekolah Kerajaan di tangan para ulama kenamaan dan dibesarkan di bawah pengawasan langsung Raja Abdul Aziz. Baginda naik takhta pada 3 Ogos 2005 setelah wafatnya Raja Fahd. Beliau sebenarnya sudah menjadi penguasa de facto sejak tahun 1995 lagi ketika Raja Fahd diserang stroke.
Abdullah adalah salah satu dari 37 putera Raja Abdul Aziz bin Abdul Rahman Al Saud (pendiri Arab Saudi modern) yang lahir dari Fahada binti Asi-al Syuraim, isteri kelapan Abdul Aziz dari keluarga Rasyid. Sebelum menjadi raja, Abdullah memang terkenal sebagai raja yang bertindak di luar kebiasaan orang Arab. Tujuh tahun lalu, beliau pertama kali melontarkan cadangan damai antara Israel dan Timur Tengah.
Inisiatif tersebut meminta Israel keluar dari bumi yang didudukinya sejak tahun 1967, dengan imbalan diadakan hubungan diplomatik dunia Arab dengan Israel secara kolektif, tertegaknya negara Palestin dengan ibu kota Jerusalem Timur, dan solusi mengenai pelarian Palestin. Walaupun usul ini disetujui Israel dan AS, tetapi ditolak mentah-mentah oleh rakyat Palestin. Beliau sering menyebut kalimat reformasi, pembaharuan dan perubahan di berbagai forum. Misalnya, Abdullah dalam beberapa tahun terakhir ini aktif dengan dialog nasional, membahas berbagai isu, khususnya isu reformasi, dengan melibatkan berbagai tokoh masyarakat.
Beliau juga mengizinkan pemilihan terus ahli Dewan Konsultatif secara nasional sejak awal tahun 2005. Dia jugalah telah membuka kesempatan bagi pemodal asing memiliki saham di bidang eksplorasi dan produksi gas. Akibatnya, kini AS semakin merajalela di bumi Arab. Beberapa bulan lalu, dia mengizinkan filem Hollywood ditayangkan di bioskop Saudi. Sebelumnya, Saudi adalah negara yang terkenal tidak memiliki bioskop atau pawagam.
Dia juga dikenali sangat rapat dengan George W. Bush, mantan Presiden AS, sehingga New York Times menyebutkan Saudi sebagai ‘House of Bush, House of Saud’. Mungkin itu sebabnya, ada web yang menyebut reformasi Raja Abdullah ini, sebagai ‘Reformasi Yahudi Ala Saudi.’ Tetapi saya lebih suka menterbalikkannya, menjadi ‘Reformasi Saudi Ala Yahudi.” Kerana sebenarnya reformasi itu baik, tetapi hendaklah mengikut acuan agama kita sendiri! (sa/cnn/guard/berbagaisumber)
Sekian, Wallahu ‘aklam.
ibnuhasyim.com
(e-mail: ibnuhasyim@gmail.com)
Feb 20, 2009. KL"
Tiada ulasan:
Catat Ulasan