Pemuda Umno disifatkan khianat, amal politik longkang

KUALA LUMPUR, 29 Heb (Hrkh) - Ketika MCA dilaporkan oleh The Star menganggap Pemuda Umno menghina sistem demokrasi negara ini, kedaulatan undang-undang, pengundi dan Parlimen serta memusnahkan imej negara, akhbar yang sama semalam menyiarkan surat pembaca yang menyifatkan tindakan Pemuda Umno menyerang Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh sebagai politik longkang dan perbuatan khianat.

Pembaca yang memperkenalkan dirinya sebagai Halimah Mohd Said itu berkata Pemuda Umno pastinya gila jika mereka merasa cara untuk menentang politik longkang Karpal Singh ialah dengan menunjuk-nunjuk versi politik longkang mereka pula.

"Tindakan mereka menceroboh Parlimen yang mulia boleh dianggap sebagai pengkhianatan paling buruk kerana mereka bukan sahaja menceroboh kawasan fizikal Yang Yang di-Pertua Dewan dan ahli-ahli Parlimen malah lebih dari itu, menceroboh pemelihara fizikal perlembagaan negara dan semua yang dilindunginya.

"Ketika orang-orang ini mempertahankan ketuanan mereka dan adab, kedaulatan raja-raja, Bahasa Melayu dan Islam, tidakkah mereka sedar bahawa mereka sendiri mestilah menjadi contoh dan menjunjung kesemua itu?

"Adakah mereka masih ingat bahawa Islam dan adat Melayu penuh dengan tuntutan supaya kita sentiasa memperlihatkan tingkah laku yang baik.

"Apabila kita menuduh orang lain derhaka dan khianat kepada Sultan, tidakkah kita sedar bahawa Parlimen adalah persada yang sah kepada sistem raja berperlembagaan kita dan menceroboh tempat yang tidak harus disentuh ini adalah lebih serius dari menunjuk perasaan di luar istana?

"Apa yang sebenarnya difikirkan oleh ahli-ahli politik apabila melibatkan penyokong-penyokong mereka dengan cara-cara yang tidak masuk akal ini? Adakah mereka cuba melakukan provokasi sehingga tercetusnya anarki dan pemberontakan mereka yang tidak rasional dan emosional? Atau adakah mereka cuba merebut undi di dalam pemilihan parti dan pilihan raya kecil yang akan datang?

"Bukan sahaja ia tidak akan memulihkan imej dan kedudukan parti di sisi para pengundi, malah mereka terus memusnahkannya. Rakyat Malaysia lebih waras berbanding ahli politik yang kita undi supaya berkuasa!" kata Halimah dalam surat pembaca bertajuk "Unbecoming to cause trouble in Parliament".

Malaysiakini pula melaporkan Pemuda Umno tidak akan meminta maaf walaupun melakukan tindakan yang disifatkan oleh Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh sebagai bodoh dan memalukan seluruh rakyat Malaysia.

Dalam kenyataan yang dilihat sebagai merestui tindakan yang disifatkan Halimah sebagai politik longkang, khianat dan tidak masuk akal itu, Ketua Pemuda Umno Datuk Hishammuddin Hussein berkata: "Tidak timbul isu minta maaf. Provokasi ini bukan kali pertama, dengan menuduhkan kita celaka, tuduh kita terlibat (menghantar) peluru (kepada Karpal) dan isu-isu membabit raja-raja Melayu dan kedaulatannya.

"Kalau diheret ke mahkamah pun saya sanggup lakukan untuk memperjelaskan apa yang berlaku"._

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.